MANGSA dikelar bapanya sendiri menggunakan kapak. FOTO hiasan
Agensi

NEW DELHI: Hanya kerana berborak dengan kekasih di luar rumah selepas waktu tengah malam, seorang wanita maut selepas direnjat elektrik dan lehernya dikelar oleh bapanya di Uttar Pradesh, Ahad lalu.

Harivansh Kumar dikatakan membunuh anaknya Pooja, 22, kira-kira jam 1.15 pagi (waktu tempatan) selepas melihat mangsa berborak dengan lelaki terbabit yang juga jiran mereka, lapor Gulf News.

Jurucakap polis Girish Chandra Gautam berkata, suspek mengaku merenjat anak bongsu dari lima beradik itu sebelum mengambil kapak dan mengelar leher mangsa.

“Suspek bunuh mangsa demi menjaga maruah keluarga. Dia dikatakan kurang senang mangsa menjalin hubungan dengan jiran.

“Lelaki itu berjumpa dengan mangsa di luar rumah. Apabila mangsa masuk ke bilik, suspek menyerang dan membunuhnya,” katanya.

Times of India melaporkan, suspek ditahan di rumahnya selepas dia sendiri menghubungi polis mengakui pembunuhan itu.

“Polis turut menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa dan kami kini menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:10 PM