TINDER antara aplikasi pacaran yang popular. FOTO hiasan
Agensi

TOKYO: Enam pelajar sekolah menengah rendah ditahan selepas mewujudkan watak palsu remaja perempuan untuk aplikasi pacaran yang digunakan bagi mengumpan mangsa ke sebuah taman untuk dirompak.

Japan Today melaporkan, seorang daripada enam sekawan berusia 14 hingga 16 tahun itu yang belum pecah suaranya juga berbual dengan mangsa yang termakan umpan mereka sehingga mempercayai dia adalah seorang gadis.

Susulan itu, pelajar kolej berusia 20 tahun itu bersetuju menemui ‘gadis’ berkenaan di sebuah taman di Osaka sebelum subuh pada 6 Oktober lalu untuk mengadakan seks berbayar, lapor The Mainichi.

Bagaimanapun, apabila tiba di situ, kumpul an budak lelaki terbabit sudah menunggu dan menyerang lelakinya menyebabkan mangsa patah hidung, sebelum melarikan wang 900 yen (RM34) dibawanya.

Tidak jelas sama ada mangsa melaporkan kejadian, namun tiga hari kemudian empat rakan berkenaan sekali lagi menemui mangsa menerusi aplikasi pacaran sama.

Bagaimanapun mangsa disasarkan gagal datang menyebabkan mereka berang dan membelasah seorang lelaki berusia 55 tahun yang kebetulan berada di situ.

Mereka ditahan selepas itu dan ketika disoal siasat mengaku seronok ketika memukul mangsa. Susulan itu, semua suspek didakwa atas tuduhan menyerang dan mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 7:46 PM