AHLI keluarga menangis dan saling memujuk selepas kejadian itu. FOTO Agensi
Agensi

California: Sekurang-kurangnya empat orang maut dan enam yang lain cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyelinap masuk ke halaman belakang sebuah rumah ketika mereka menghadiri majlis bersama puluhan ahli keluarga dan rakan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Menurut polis, semua mangsa yang maut lelaki berketurunan Asia berusia antara 25 hingga 35 tahun. Tiga daripadanya maut di tempat kejadian manakala mangsa keempat meninggal dunia di hospital.

Enam lagi mangsa dilaporkan cedera tetapi keadaan mereka stabil.

Masih tidak jelas sama ada serangan dilakukan seorang lelaki atau sekumpulan orang, namun Daily Mail melaporkan, 45 anggota keluarga serta rakan mereka berkumpul kelmarin untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sebelum penyerang menyelinap masuk ke situ dan melepaskan tembakan secara rambang.

Jurucakap polis Fresno, Leftenan Bill Dooley berkata, masih tidak diketahui sama ada mangsa mengenali penyerang berkenaan, namun tiada tanda menunjukkan ia berkaitan dengan gengster.

“Kami bersimpati dengan keluarga mangsa. Keganasan seperti ini tidak masuk akal, mujur tiada kanak-kanak yang cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:52 PM