ISRAEL Folau
AFP

SYDNEY: Bekas pemain profesional ragbi, Israel Folau, mencetuskan kemarahan orang ramai selepas mendakwa kebakaran hutan dan kemarau di Australia adalah ‘balasan Tuhan’ apabila perkahwinan sejenis dan pengguguran anak dibenarkan menurut perundangan.

Folau yang dipecat dari bermain ragbi pada Mei lalu, memuat naik di Instagram bahawa ‘neraka menanti’ pelaku gay dan lain-lain yang dianggap melakukan dosa.

Bagaimanapun, kenyataannya dikutuk dan dilabel sebagai ‘tidak peka’ oleh Perdana Menteri Scott Morrison.

Menurut Folau, ia bukan kebetulan apabila kemarau dahsyat dan kebakaran di seluruh New South Wales dan Queensland menyebabkan enam maut serta ratusan rumah musnah.

“Anda saksikan bagaimana kebakaran hutan, kemarau dan semua perkara itu berlaku dalam masa singkat. Adakah anda fikir ia satu kebetulan?

“Australia perlu menggubal semula undang-undang berkenaan dan mengembalikannya kepada apa yang betul menurut Tuhan,” katanya.

Perkahwinan sesama jenis dibenarkan di Australia susulan satu referendum pada 2017 manakala New South Wales menjadi negeri terakhir yang mengharamkan pengguguran pada September tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 2:25 PM