SEBUAH pesawat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Frankfurt am Main, utara Jerman. FOTO AFP
AFP

FRANKFURT AM MAIN (Jerman): Dua pesawat bertembung ketika mendarat di lapangan terbang Frankfurt petang semalam namun ia tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang atau kru, kata pihak berkuasa.

AFP melaporkan yang memetik jurucakap lapangan terbang, pesawat Air Namibia dan Korean Air itu dikatakan mengalami kemalangan kecil kira-kira 6 petang.

Menurut Biro Persekutuan Siasatan Kemalangan Pesawat (BFU) Jerman, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kerosakan pada pesawat itu masih diteliti, kata jurucakapnya.

Korean Air dalam kenyataannya berkata, pesawat terbabit membawa seramai 241 penumpang dan 40 kru.

“Sayap kiri Air Namibia bertembung bahagian penstabil pada pesawat KE905 Korean Air ketika ia berada di landasan sebaik mendarat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:57 PM