TUNJUK perasaan antikerajaan di Chile menggunakan laser poket untuk `menembak’ jatuh sebuah dron polis.
Agensi

SANTIAGO (CHILE): Sekumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di Chile menggunakan laser poket untuk `menembak’ jatuh sebuah dron polis yang terbang untuk mengawasi mereka.

Dalam satu video yang tular, menunjukkan 40 hingga 50 penunjuk perasaan menembak laser berwarna hijau terhadap sebuah dron yang terbang di atas mereka.

Selepas kira-kira 20 saat ditembak dengan puluhan laser, dron itu hilang kawalan sebelum terhempas menyebabkan penunjuk perasaan yang berada di jalan raya bersorak kegembiraan.

Seorang pakar teknologi pertahanan, Christopher Williams memberitahu Daily Mail, cahaya laser mungkin menyebabkan juruterbang dron itu `buta’.

“Dron dikawal secara jarak jauh dan apabila kameranya ditembak dengan laser ia menyebabkan pengendalinya tidak nampak dan hilang kawalan,” katanya.

Satu lagi kemungkinan ialah, laser itu mungkin menyebabkan peralatan sensitif dron rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 10:05 PM