GAMBAR hiasan.
Agensi

KARACHI: Lebih 25 terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat panahan petir yang berlaku sekurang-kurangnya 18 kali di kawasan Gurun Thar, Pakistan, malam kelmarin.

Menurut polis semalam, petir dan hujan lebat luar biasa menyebabkan huru-hara di beberapa perkampungan dengan puluhan rumah musnah atau rosak dalam kejadian yang menurut pakar kaji cuaca ada kaitan dengan perubahan cuaca.

Petir menyambar sekurang-kurangnya di 18 lokasi berlainan dengan impak amat kuat sepanjang malam kelmarin.

Ketua polis daerah yang terletak di wilayah Sindh, selatan Pakistan itu, Abdulah Ahmed, memberitahu AFP, 18 disahkan terbunuh namun laporan beberapa media Pakistan menyatakan sehingga 27 terbunuh.

Gurun Thar, antara kawasan termiskin Pakistan yang terletak berdekatan sempadan India, bergantung kepada hujan namun kejadian hujan lebat pada November adalah sesuatu yang luar biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:53 PM