AFP

MANILA: Filipina melaporkan kes pertama pesakit mengalami masalah kesihatan yang dikaitkan dengan vape, dalam pada pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan terhadap kes mahkamah yang menghalang mereka menyelaras rokok elektronik.

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang menggunakan rokok elektronik sejak enam bulan lalu dimasukkan ke hospital bulan lepas kerana kesukaran bernafas, malah menunjukkan kerosakan paru-paru seperti dikaitkan dengan amalan menggunakan vape, kata jabatan kesihatan.

Dia dirawat pakar pulmonologi pediatrik dan sudah dihantar pulang.

Susulan itu, Setiausaha Rendah Kesihatan, Enrique Domingo berkata dalam satu kenyataan: “Semua pengguna rokok elektronik harus mendapat bantuan perubatan segera dan meminta pandangan doktor mengenai cara menghentikan amalan berbahaya ini.”

Laporan kematian dan penyakit dikaitkan dengan vape di beberapa negara meningkatkan kebimbangan terhadap populariti rokok elektronik yang didakwa kurang berbahaya berbanding tembakau. Ia bagaimanapun diharamkan di India dan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS).

Jabatan kesihatan bulan lalu mengarahkan hospital merekodkan kes dikaitkan dengan vape selain mencadangkan beberapa peraturan berhubungnya.

Namun ia disaman berhubung cadangan berkenaan seterusnya menghalang kerajaan melaksanakannya selagi ia tidak diselesaikan di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:42 PM