RAJA Mswati bersama seorang isterinya. FOTO Agensi
Agensi

MBABANE, SWAZILAND: Pemerintah mutlak Swaziland, Raja Mswati III, dikecam kerana membelanjakan £13 juta (RM69.4 juta) untuk membeli ratusan kereta mewah, termasuk 19 Rolls-Royces untuk ahli keluarga dan 14 isterinya.

Mswati dilapor mengimport 19 kereta Rolls-Royces dan 120 BMW yang sebahagiannya dilihat berada di atas treler, dihantar dari Afrika Selatan awal bulan ini.

Menurut laporan Daily Mail, saksi melihat kereta model BMW X3 dan 5-Series yang setiap satu berharga lebih £30,000 (RM160,190) berbalut plastik di atas treler untuk dihantar menaiki kapal dari Afrika Selatan.

Laporan itu mencetuskan kemarahan di negara Afrika itu yang majoriti penduduknya berpendapatan rendah.

BEBERAPA kereta Rolls-Royce dalam sebuah trak yang dihantar kepada keluarga diraja itu. FOTO Agensi

Pendapatan purata tahunan penduduk Swaziland kira-kira £10,000 (RM53,396), bermakna seorang pekerja biasa perlu bekerja selama 70 tahun untuk membeli sebuah Rolls-Royce.

Mswati adalah raja berkuasa penuh, pemerintah mutlak di negara kecil yang mempunyai kira-kira 1.3 juta penduduk itu.

Dia mempunyai 14 isteri dan 25 anak serta terkenal kerana sering berbelanja mewah.

Mswati pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila membeli jet peribadi mewah bernilai £200 juta (RM1.1 bilion).

Sementara itu, pemimpin pembangkang, Wandile Dludlu, mengkritik Mswati kerana berterusan berbelanja mewah ketika rakyat dihimpit kemiskinan.

“Ini satu bentuk keangkuhan dan tidak menghormati perasaan rakyat Swaziland yang miskin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 7:54 AM