AFP

VENICE: Venice dilanda bencana buruk apabila kota bersejarah itu ditenggelami air susulan fenomena air pasang terbesar yang pernah direkodkan dalam tempoh 50 tahun.

Menurut datuk bandarnya, Luigi Brugnaro yang dipetik stesen tempatan RAI berkata, banjir itu menyebabkan kemusnahan besar di seluruh kota berkenaan.

“Seluruh bandar ini ditenggelami air hingga paras lutut. Kemusnahannya agak besar,” katanya.

Menurut jurucakap bomba, pihaknya melakukan 250 operasi untuk menyelamatkan mangsa menggunakan bot yang membabitkan kira-kira 150 anggota.

Setakat ini, kejadian itu dilaporkan meragut satu nyawa membabitkan lelaki berusia 78 tahun yang maut terkena renjatan elektrik di rumahnya yang ditenggelami air, lapor media tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 9:32 PM