WANG ketika berjaya dipujuk untuk tidak membunuh diri. FOTO AGENSI
Agensi

BEIJING: Seorang lelaki mahu membunuh diri selepas isterinya membelanja lebih RMB300,000 yuan (RM177,552) membeli-belah dalam talian sempena jualan 11.11, malam Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku di Luzhou, wilayah Sichuan selepas Wang, 29, tertekan kerana isterinya Zhan berbelanja besar membeli pelbagai barangan.

Menurut Red Star News, Zhan, 29, tertarik dengan diskaun hebat yang ditawarkan peniaga pada jualan harga runtuh 11.11, kelmarin.

Pasangan itu dilaporkan bertengkar sebelum Wang ke bumbung sebuah apartmen 33 tingkat dan mahu terjun dari bangunan itu.

Polis berjaya menenangkan Wang dalam tempoh 30 minit dan turut meminta dia memikirkan nasib anak kecilnya.

Wang yang menerima bayaran gaji beberapa ribu sebulan sebagai jurujual berjanji akan bekerja lebih keras untuk melangsaikan hutang isterinya.

Sebelum ini, isterinya membelanja sebanyak RMB200,000 (RM118,341) dalam talian membeli beg mewah, minyak wangi dan pakaian menggunakan kad kredit atau pinjaman bank.

Ketagihan wanita itu membeli-belah bertambah teruk susulan berhenti kerja selepas melahirkan anak pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:48 PM