NARESH ketika menyerah diri kepada polis.
Agensi

NEW DELHI: Berang dimarah isteri kerana minum alkohol, seorang mekanik bertindak menetak mangsa sampai mati sebelum menjinjing kepalanya ke balai polis di Agra, kelmarin.

Suspek Naresh Kumar, 30, ketika menyerah diri kepada polis mengaku menetak isterinya, Shanti menggunakan objek tajam sebelum memenggal kepala wanita malang itu dalam bilik di rumah mereka.

Jurucakap polis, Rohan Pramod Botre berkata, pasangan itu mendirikan rumah tangga selama 17 tahun dan kerap bertengkar kerana suspek selalu mabuk.

Menurut Rohan, sekitar jam 8 malam Ahad lalu, suspek minum arak di dalam rumah sebelum dimarahi mangsa, lapor Hindustan Times.

Bapa kepada empat anak itu menjadi berang lalu mengheret mangsa ke dalam bilik dan membunuhnya.

Rohan berkata, suspek kemudian menyimpan kepala mangsa di dalam bekas tin dan mengunci pintu bilik sebelum keluar rumah.

“Pada keesokannya, anak-anak Shanti mencarinya sebelum akhirnya berjaya membuka pintu bilik itu dan mendapati mayat mangsa tanpa kepala di lantai.

“Mereka terus memaklumkan kejadian itu kepada anggota keluarga lain yang menghubungi polis,” katanya.

Siasatan awal mendapati suspek cuba membersihkan bilik itu dan polis berjaya menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa.

“Suspek akan dibicarakan di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.

Ini bukan kali pertama seorang suami ditangkap dengan kepala isteri yang dibunuh di India.

Sebelum ini, pada Ogos lalu di Srinagar, seorang lelaki membunuh dan memenggal isterinya sebelum membawa kepala wanita itu ‘berjalan-jalan’ di sekitar bandar Vijayawada, menyebabkan orang ramai bertempiaran ketakutan.

Lelaki berkenaan kemudian mencampakkan kepala isterinya ke dalam parit sebelum menyerah diri kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:35 AM