KAWASAN tempat letak kereta bertingkat di Admiralty Drive, Singapura.
Agensi

SINGAPURA: Seorang bapa durjana berusia 41 tahun merogol anak perempuan tirinya berusia 15 tahun di tempat letak kereta bertingkat di Singapura selepas menjemput mangsa pulang dari sekolah.

Tertuduh yang dirahsiakan namanya, mengaku bersalah kelmarin kerana melakukan hubungan seksual dengan gadis bawah umur 16 tahun. Tuduhan lain yang serupa akan dipertimbangkan semasa hukuman, lapor The Straits Times.

Mereka ditahan selepas dilihat anggota polis yang melakukan rondaan di lokasi itu pada jam 2 petang. Menurut laporan, itu bukan kali pertama mereka mengadakan seks selepas menjadi semakin rapat kerana sering berbalas pesanan.

Tertuduh yang berkahwin dengan ibu remaja itu tinggal bersama anak tiri dan anak kandungnya selama lebih setahun malah mangsa yang berada dalam Tingkatan 4 turut memanggilnya pak cik.

Yahoo News Singapore melaporkan, dalam kejadian 25 Januari lalu, remaja itu meminta tertuduh menjemputnya di sekolah pada 12.30 tengah hari (waktu tempatan) sebelum menyertai kokurikulum pada 3 petang (waktu tempatan).

Bagaimanapun, lelaki itu memandu ke tempat letak kereta bertingkat di Admiralty Drive sebelum mengarah mangsa berpindah ke tempat duduk belakang dan melakukan hubungan seks tanpa menggunakan perlindungan.

Menurut polis, pada awalnya suspek menganggap remaja itu sebagai anak tirinya namun kerana sering berbalas mesej membuatkan mereka semakin rapat sehingga melakukan hubungan terkutuk di lokasi sama pada 14 dan 20 Januari lalu.

Mitigasi dan hukumannya akan dibicarakan pada 23 Disember depan. Dia turut ditawar jaminan sebanyak AS$15,000 (RM45,659).

Kesalahan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:31 AM