ANGGOTA paramedik memeriksa mayat Thanin selepas dia maut ditembak polis di dalam mahkamah. FOTO Agensi
Agensi

CHANTHABURI (THAILAND): Perbicaraan tuntutan tanah antara dua lelaki di sebuah mahkamah di sini semalam bertukar menjadi aksi tembak-menembak menyebabkan tiga orang mati dan dua lagi cedera parah.

Dalam kejadian berkenaan, seorang pesara polis, Thanin Chantratip menembak mati plaintif dan peguamnya sebelum dia ditembak mati oleh polis.

Mail Online melaporkan, ketika kejadian Thanin dan plaintif, Bancha Porameesanaporn menunggu keputusan hakim mengenai satu tuntutan tanah.

Saksi memberitahu, Thanin mengeluarkan pistol jenis Glock .22 yang diletakkan di pinggangnya selepas bertengkar dengan peguam Bancha sebelum melepaskan tembakan.

Peguam berkenaan, Wijai Sukharom maut di tempat kejadian dan Bancha pula mati ketika menerima rawatan di hospital.

Thanin pula terbunuh selepas dia berbalas tembakan dengan polis mahkamah.

Jurucakap polis, Charan Jitchuejun berkata, tiga mangsa yang cedera parah adalah isteri Bancha dan dua lagi peguam.

Katanya, perbalahan mengenai tanah antara dua lelaki itu sudah berlarutan selama lebih 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:24 AM