GAMBAR HIASAN
Reuters

JAKARTA: Indonesia melancarkan laman web hari ini untuk membolehkan orang ramai melaporkan kandungan ‘radikal’ yang dimuat naik penjawat awam, ketika negara majoriti Islam terbesar di dunia itu memerangi ideologi pelampau Islam daripada meracuni kalangan kakitangan kerajaan.

Secara rasminya, Indonesia adalah negara sekular namun berlaku peningkatan konservatif dengan beberapa ahli politik menuntut peranan lebih besar Islam dan ada yang mahu menjadikannya negara Islam sepenuhnya.

Menurut Menteri Komunikasi Indonesia, Johnny G Plate, matlamat laman web berkenaan adalah untuk mengajak orang ramai bersama-sama memperbaiki prestasi penjawat awam selain menggalakkan semangat nasionalisme.

Kementerian Agama Indonesia turut mengumumkan rancangannya menggantikan 167 buku teks Islam yang dianggap mengandungi bahan radikal dan tidak bertoleransi menjelang akhir tahun ini.

“Matlamatnya supaya membolehkan ajaran agama menjadikan pelajar lebih bertoleransi dan menghargai kaum berbeza dengan mereka,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Hal Ehwal Agama, Kamaruddin Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 11:05 PM