WARDEN penjara mengawal ketat pintu masuk penjara Welikada. FOTO AFP
AFP

COLOMBO: Ratusan banduan di penjara keselamatan tinggi Sri Lanka memprotes pada hari kedua dengan mendesak dibebaskan, susulan pesalah yang membunuh kejam seorang remaja perempuan berbangsa Sweden pada 2005, mendapat pengampunan presiden.

Jude Jayamaha yang datang dari keluarga kaya dengan pelbagai hubungan politik, didapati bersalah membunuh Yvonne Jonsson, 19, pada 2005.

Jayamaha dibebaskan Sabtu lalu selepas mendapat pengampunan Presiden Maithripala Sirisena, yang bakal mengakhiri penggalnya pada hujung minggu ini menjelang pilihan raya presiden.

Menurut polis, kira-kira 1,000 banduan enggan kembali ke bilik tahanan mereka di penjara Welikada di Colombo, malah empat daripadanya memanjat ke atas bumbung premis berkenaan.

Pegawai penjara berkata, komando polis dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyerbu jika perlu. Laporan mengatakan, satu lagi protes serupa turut diadakan di penjara lain di selatan Sri Lanka.

Yvonne, yang mempunyai ibu rakyat tempatan manakala ayah berbangsa Sweden, bercuti di Sri Lanka ketika dibelasah mati susulan pertengkaran dengan Jayamaha.

ASKAR Sri Lanka berkawal di depan penjara Welikada. FOTO AFP

Mahkamah diberitahu, tengkoraknya retak kepada 64 bahagian.

Sirisena mengumumkan pengampunan Jayamaha hujung minggu lalu, yang mencetuskan kemarahan pengguna media sosial dan parti politik utama negara itu.

Malah, calon presiden parti pemerintah, Sajith Premadasa berkata akan mempertimbangkan saluran undang-undang untuk membatalkan pengampunan berkenaan.

Jayamaha pada mulanya dipenjara 12 tahun tetapi memfailkan rayuan sebelum hukumannya dinaikkan kepada hukuman mati yang disahkan Mahkamah Agung pada 2014.

Sementara itu, kakak Yvonne, Caroline menyuarakan rasa tidak senang di Facebook terhadap pengampunan Jayamaha.

“Dia langsung tidak menunjukkan kekesalan atas perbuatannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 10:06 PM