AKBAR (kiri) merayu kepada perusuh agar tidak mengapa-apakan mangsa. FOTO Kompas.com
Agensi

SEORANG pegawai polis di Pinrang, Sulawesi Selatan diangkat sebagai wira selepas enggan menggunakan kekerasan sebaliknya melutut dan merayu perusuh daripada membunuh seorang pelombong haram.

Dalam video yang tular, ketua polis daerah Cempa, Akbar dilihat melindungi pelombong itu daripada penduduk yang bersenjatakan parang sebelum melutut dan merayu untuk melepaskan mangsa.

Akbar memberitahu Kompas.com, dalam kejadian itu puluhan penduduk merusuh bagi membantah aktiviti pelombongan haram di kampung mereka.

“Penduduk kemudiannya memukul seorang pekerja lombong berkenaan hingga terjatuh sebelum mereka mengeluarkan parang untuk membunuh mangsa.

“Kerana keadaan semakin tidak terkawal saya tidak menggunakan kekerasan sebaliknya duduk melutut dan merayu penduduk yang berang supaya tidak membunuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, kerana terharu melihat seorang pegawai polis sanggup melutut dan merayu, kemarahan penduduk akhirnya reda dan mereka bersetuju menyerahkan lelaki itu kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, timbalan ketua polis Pinrang, Nugraha Pamungkas memberitahu, Akbar dihormati penduduk di Cempa kerana seorang yang ramah dan mesra.

Ujarnya, Akbar akan diberi penghargaan yang sewajarnya kerana keberanian menyelamatkan nyawa mangsa daripada dibunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 1:20 AM