GAMBAR menunjukkan kebakaran hutan yang terlihat dari kawasan timur Australia. FOTO AFP
Reuters

MELBOURNE: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala tujuh lagi hilang akibat kebakaran hutan di kawasan timur Australia yang sudah memusnahkan kira-kira 150 rumah dan bangunan.

Jabatan Bomba Pedalaman New South Wales (NSE RFS) mengesahkan dua maut akibat kebakaran berhampiran Glen Innes, kira-kira 500 kilometer di utara Sydney.

Satu mayat ditemui dalam kenderaan dan mayat seorang wanita meninggal dunia akibat melecur teruk.

Ketua Menteri NSW, Gladys Berejiklian berkata, tujuh lagi masih hilang.

“Saya minta maaf kerana perlu memberitahu angka kematian dijangka meningkat,” katanya semalam.

Menurut Perdana Menteri Scott Morrison, jika keadaan memerlukan tentera akan dikerah membantu 1,300 anggota bomba yang melawan kira-kira 100 kebakaran hutan.

Selain mereka yang hilang, 30 lagi cedera, sebahagian besarnya anggota bomba.

Bencana itu adalah kebakaran hutan terburuk Australia yang mencatatkan puluhan kebakaran hutan berikutan banyak kawasan dilanda kemarau.

Di Queensland, ribuan penduduk sekitar bandar resort Noosa, terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan akibat kebakaran hutan dan pihak berkuasa membuat penilaian sebelum membenarkan kira-kira 2,000 penduduk dibenar pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:01 AM