PENUNJUK perasaan membakar sebahagian perabot. FOTO Reuters
AFP

SANTIAGO: Penunjuk perasaan membakar bangunan pentadbiran berusia 100 tahun sebuah universiti ketika pertembungan dengan polis di Chile, hari ini.

Polis mendirikan penghadang untuk melindungi Universiti Pedro de Valdivia ketika demonstrasi diadakan sebelum bumbung bangunan pentadbiran institusi itu terbakar sejurus selepas pertembungan tercetus.

Kehadiran penunjuk perasaan di lokasi menyukarkan anggota bomba memadamkan kebakaran.

Dalam kejadian berasingan berhampiran universiti itu, penunjuk perasaan membawa keluar perabot sebuah gereja berusia 143 tahun ke jalan raya sebelum dibakar.

Puluhan ribu orang berhimpun di Plaza Italia membuat bantahan terhadap bayaran gaji rendah, yuran pendidikan dan kesihatan mahal serta sistem sosio-ekonomi yang dikatakan menyebelahi orang kaya.

Rusuhan sejak 18 Oktober lalu itu menyebabkan seramai 20 orang terbunuh dan polis sudah menahan hampir 10,000 orang untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 11:50 AM