RUMAH di mana mayat Ana ditemui. FOTO Agensi
Agensi

DUBLIN: Dua remaja yang taasub dengan pemujaan syaitan dipenjara seumur hidup kerana merogol dan membunuh seorang gadis berusia 14 tahun seterusnya menjadi pesalah termuda bagi kes seumpama itu di Ireland.

Dua tertuduh itu yang tidak didedahkan identiti kerana masih bawah umur itu dilaporkan obses dengan pemujaan syaitan.

Malah pemeriksaan di rumah seorang daripadanya, digelar ‘Budak A,’ menemui buku yang menyatakan beberapa syarat termasuk melarang mereka daripada menyebut mengenai ketuhanan dan cuma memuji syaitan.

Mayat Ana Kriegel, 14, ditemui dalam rumah ladang yang terabai berhampiran Dublin pada Mei 2018. Laporan bedah siasat menunjukkan dia mengalami kecederaan pada tengkuk dan kepala, selain mayatnya menunjukkan kesan serangan seksual dengan DNA Budak A ditemui.


IBU bapa Ana di luar mahkamah. FOTO Agensi

Susulan itu, kelmarin, Budak A dipenjara seumur hidup yang boleh disemak semula selepas 12 tahun, manakala rakannya ‘Budak B’ dijel 15 tahun yang boleh disemak semula selepas lapan tahun.

Dalam penghakimannya, Hakim Paul McDermott berkata: “Budak A merampas nyawa Ana, malah dia mengalami serangan fizikal dan seksual menakutkan pada saat akhir kehidupannya. Budak B pula secara aktif terbabit dalam pembunuhannya.

“Keluarga Ana terpaksa menanggung kesedihan selagi kamu masih hidup.

“Kini kamu perlu menanggung rasa bersalah dan malu sehingga mati, malah fikirkanlah kehancuran yang kamu akibatkan terhadap keluarga mangsa.

“Saya berharap jika dibebaskan satu hari nanti, kamu ubahlah cara supaya melalui kehidupan lebih positif. Gunakanlah tempoh penjara ini untuk membina ke arah itu.”

Sementara itu, bapa Ana, Patric Kriegel menyuarakan rasa lega kerana akhirnya mendapat keadilan untuk anaknya.

Ibu Ana, Geraldine, dalam kenyataannya kepada mahkamah sebelum ini berkata, dia masih dihantui kematian sadis anaknya.


ANA. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:12 AM