TENGKORAK, tulang dan bekas kaca mengandungi janin bayi yang dijumpai.
Reuters

MEXICO CITY: Polis menemui lebih 40 tengkorak, berpuluh-puluh tulang dan bekas kaca mengandungi janin bayi ketika menyerbu lokasi persembunyian seorang suspek pengedar dadah di bandar ini, kata pihak berkuasa semalam.

Empat tengkorak itu dibina menjadi tempat penyembahan di kawasan kejiranan di tengah Tepito, lokasi polis menahan 31 suspek dadah pada Selasa lalu.

Lokasi semua suspek ditahan mempunyai beberapa terowong rahsia dan makmal membuat dadah.

Gambar yang disiarkan pejabat pendakwa raya Mexico City menunjukkan beberapa tengkorak lagi disusun di atas tempat penyembahan itu.

Jurucakap pejabat pendakwa raya berkata, pihak berkuasa masih menyiasat asal usul tengkorak itu.

Penyiasat juga menemui sejumlah pisau, 40 tulang rahang manusia, 30 tulang kaki atau tangan dan janin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 10:56 AM