DOULA (tengah) turut dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah.
AFP

FENI (BANGLADESH): Mahkamah di sini, semalam, menjatuhkan hukuman mati terhadap 16 orang selepas mereka didapati bersalah terbabit dalam pembunuhan pelajar perempuan sebuah sekolah agama berusia 19 tahun yang dibakar hidup-hidup, April lalu.

Mangsa, Nusrat Jahan Rafi, meninggal dunia April lalu, akibat melecur teruk selepas disimbah minyak tanah dan dibakar di atas bumbung asrama sekolah kerana enggan menarik balik laporan polis gangguan seksual yang dilakukan pengetua terhadapnya.

Pengetua Madrasah Islam Sonagazi terbabit, Siraj Ud Doula, antara 16 yang dihukum mati.

Dia menafikan pembabitannya dalam pembunuhan itu, namun 12 tertuduh mengaku bersalah melakukan jenayah kejam itu.

Pada Mac lalu, Nusrat Jahan membuat laporan polis mendakwa Siraj memanggilnya ke pejabat dan menyentuhnya secara tidak wajar membawa kepada penahanan lelaki itu.

Menurut polis, Doula mengarahkan suspek, termasuk pelajar sekolah berkenaan membunuh mangsa dari dalam penjara. Rakan subahatnya yang lain, termasuk dua ahli politik parti pemerintah, Maksud Alam dan Ruhul Amin.

NUSRAT Jahan meninggal dunia akibat melecur teruk.

Pada hari kejadian, mangsa diperdaya naik ke atas bumbung asrama sebelum lima suspek mengikat tangan dan kakinya sebelum membakarnya. Mereka merancang menjadikan pembunuhan itu sebagai bunuh diri, namun mangsa berjaya berlari turun dalam keadaan tubuhnya terbakar.

Ketika dalam ambulans, Nusrat Jahan yang mengenal pasti penyerangnya yang dirakam melalui video, berkata: “Guru itu menyentuh saya. Saya akan berjuang sampai nafas terakhir.”

Mangsa cedera parah akibat melecur 80 peratus dan meninggal dunia di hospital pada 10 April lalu.

Kematiannya mencetuskan kemarahan dan ribuan penduduk menunjuk perasaan di Dhaka menuntut hukuman setimpal terhadap pembunuhnya. Perdana Menteri Sheikh Hasina berjanji mendakwa semua yang terbabit dalam kejadian itu.

“Keputusan mahkamah (Tribunal Khas Wanita Dan Kanak-Kanak) itu membuktikan tiada siapa terlepas daripada jenayah di Bangladesh. Kita tertakluk kepada kedaulatan undang-undang,” kata pendakwa raya Hafez Ahmed.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 7:54 AM