ENAM tertuduh akhirnya dihukum penjara kerana cubaan membunuh. FOTO Agensi
Agensi

BEIJING: Satu kontrak pembunuhan gagal dilaksanakan selepas diserahkan daripada satu suspek ke suspek lain sehingga akhirnya bertukar tangan empat kali sebelum terbongkar kepada mangsa disasarkan.

AFP melaporkan, ahli perniagaan Qin Youhui menawarkan dua juta yuan (RM1.2 juta) kepada pembunuh upahan, Xi Guangan, untuk membunuh Wei Mou yang memfailkan saman terhadapnya pada 2013. Menurut laporan, Qin mahu Wei dibunuh kerana bimbang menanggung kos perundangan tinggi untuk perbicaraan kes itu.

Namun rupanya dia tersilap memilih pembunuh apabila lelaki itu pula menyerahkan tugas berkenaan kepada rakannya. Lebih lawak apabila rakan terbabit turut menyerahkan tugas itu kepada kawan lain menyebabkan arahan membunuh Wei bertukar tangan empat kali dengan jumlah upah dijanjikan berkurangan setiap kali.

Akhirnya, tugas membunuh Wei diserahkan kepada pembunuh upahan kelima, Ling Xiansi, yang ditawarkan cuma 100,000 yuan (RM59,000) untuk melaksanakan kerja itu - iaitu cuma lima peratus daripada harga asal.

Menurut Daily Mail, Ling bagaimanapun tidak berani melakukannya kerana bimbang dipenjara seumur hidup sekiranya ditangkap, sebaliknya mengajak Wei berjumpa di sebuah kafe dan memaklumkannya mengenai perancangan itu, selain memujuknya berpakat berpura-pura mati dibunuh.

Wei bersetuju mengambil gambar menunjukkan tangan serta mulutnya diikat kononnya sebagai bukti dia sudah dibunuh, tetapi sebaik selesai terus melaporkan kejadian itu kepada polis seterusnya membawa kepada penangkapan semua suspek.

Polis menyiasat kejadian itu, tetapi enam lelaki terbabit pada awalnya didapati tidak bersalah - sesuatu yang pelik di China di mana 99 peratus kes dibawa ke mahkamah akan disabitkan kesalahan.

Kes itu berterusan sejak 2016 dan perbicaraan semula saja memakan masa tiga tahun.

Bagaimanapun, minggu lalu mahkamah di Nanning akhirnya mendapati Qin dan lima pembunuh upahan terbabit bersalah kerana cubaan membunuh.

Qin dipenjarakan lima tahun, manakala lima tertuduh lain dipenjara antara dua hingga empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 7:11 AM