KONTENA yang ditemui dengan 39 mayat pendatang daripada Bulgaria. FOTO AGENSI
Agensi

LONDON: Semua 39 pendatang yang ditemui mati di dalam sebuah kontena berhampiran London semalam mungkin maut akibat kesejukan kerana kontena itu mempunyai sistem sejuk beku yang boleh mencapai suhu -25 darjah Celsius.

Difahamkan, lori itu masuk ke Britain pada Sabtu lalu dan ini bermakna semua mangsa berada di dalam kontena sekurang-kurangnya empat hari sebelum mayat mereka ditemui.

Ketua Eksekutif Persatuan Pengangkutan Darat Britain, Richard Burnett memberitahu Mail Online, sekiranya sistem sejuk beku dihidupkan keadaan di dalam kontena itu sangat sejuk dan boleh membunuh seseorang dengan sangat cepat.

“Terdapat tandas di belakang kontena itu. Sekiranya mereka berada di dalam selama beberapa hari tentu ada najis dan air kencing di dalamnya,” katanya.

Lori jenis Scania yang dipercayai memulakan perjalanan dari Bulgaria itu masuk ke Britain melalui ‘titik lemah’ di Ireland sebelum menaiki feri ke pelabuhan Holyhead di Wales dan terus ke London.

Kontena itu kemudiannya ditemui kawasan industri di Grays, timur London pada awal pagi semalam.

Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki Ireland Utara berusia 25 tahun yang dipercayai pemandu lori berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 12:10 AM