PENDUDUK Hong Kong bergotong royong membersihkan Masjid Tsim Sha Tsui. FOTO AGENSI
Agensi

HONG KONG: Penduduk bandar ini bergotong royong membersihkan sebuah masjid yang disembur air biru oleh pihak berkuasa ketika menyuraikan tunjuk perasaan pada Ahad lalu.

Mereka dilihat mengelap pagar besi dan mencuci tangga serta jalan di hadapan Masjid Tsim Sha Tsui yang masih mempunyai kesan warna biru.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Chan berkata, dia tidak tahu mengenai Islam dan tidak tahu masjid adalah tempat orang Islam beribadat.

“Kami berasa bersalah kerana tidak dapat melindungi masjid ini dan ia tidak sepatutnya terbabit dengan masalah ini,” katanya.

Dalam kejadian pada Ahad lalu itu, polis melepaskan meriam air berwarna biru ke arah penunjuk perasaan di Kowloon untuk meleraikan mereka.

Meriam air turut terkena pintu depan masjid dan ketika itu, beberapa orang termasuk wartawan berkumpul di hadapannya.

Insiden itu menyebabkan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam meminta maaf dan berjanji polis akan melindungi rumah ibadat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 10:40 PM