KEDIAMAN Piana yang musnah akibat tanah runtuh.
AFP

ROME: Dua ekor kucing yang membuat bising berjaya menyelamatkan pasangan suami isteri yang tersedar dari tidur sebelum melarikan diri beberapa saat sebelum kediaman mereka musnah akibat tanah runtuh.

“Saya dan isteri terbangun dari tidur kerana kucing kami Simba dan Mose membuat bising.

“Ketika melihat apa yang berlaku isteri saya melihat kucing itu bermain dengan siling yang jatuh. Tidak lama selepas itu kami melihat dinding rumah mula retak,” kata Claudio Piana kepada akhbar Secolo XIX.

Ribut kuat melanda Liguria, utara Itali yang membunuh seorang pemandu teksi dan menyebabkan berpuluh-puluh penduduk berpindah.

Piana dan isterinya, Sabrina Pellegrini masuk tidur pada malam Isnin lalu serta tidak menyedari tanah runtuh merosakkan asas kediaman mereka.

Apabila melihat rumah mereka hampir runtuh, pasangan itu bergegas ke kereta tetapi terperangkap akibat lumpur tebal sebelum diselamatkan bomba.

“Adik saya kemudiannya menghubungi saya dan memberitahu rumah kami sudah runtuh,” ujarnya.

Satu video yang disiarkan laman sesawang akhbar itu menunjukkan rumah pasangan mereka yang musnah.

“Kami kini hilang segalanya. Bomba melarang kami kembali ke rumah kerana keadaan sangat bahaya. Namun, sekurang-kurangnya Simba dan Mose selamat,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:16 PM