PULUHAN anggota polis dan tentera menyerbu bangunan di tengah kawasan penempatan Tepito yang terkenal dengan aktiviti haram. FOTO REUTERS
Reuters

MEXICO CITY: Pasukan keselamatan menahan seramai 31 anggota kartel dalam serbuan di beberapa terowong rahsia dan makmal dadah di sini, semalam.

Jurucakap berkata, puluhan anggota polis dan tentera menyerbu bangunan di tengah kawasan penempatan Tepito yang terkenal dengan aktiviti haram.

Setiausaha Keselamatan Awam Mexico City, Omar Garcia berkata, dua makmal menghasilkan dadah sintetik dan 50 kilogram bahan kimia dirampas polis.

Turut ditemui polis dalam serbuan adalah lebih dua tan ganja, 20 kilogram kokain, sejumlah wang dan tempat simpanan senjata api termasuk pelancar roket dan bom tangan.

Garcia berkata, seramai 31 individu disyaki anggota kartel Union ditahan dan kumpulan itu beroperasi di Tepito sejak beberapa tahun lalu.

Serbuan itu susulan kerajaan berdepan kritikan selepas keganasan berulangan sejak minggu lalu.

Baru-baru ini, seramai 13 anggota polis terbunuh dalam pertempuran dengan anggota kartel selepas polis menahan anak lelaki Raja dadah El Chapo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:40 AM