JIAO membuka kotak dan menemui bayi seberat 1.5 kilogram. FOTO Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui selamat selepas ditanam hidup-hidup oleh keluarganya di kawasan pergunungan kerana disangka sudah mati.

Dalam kejadian di Laiwu, Shandong, itu, bayi berkenaan dilaporkan ditanam di dalam kotak sebelum dijumpai penduduk tempatan pada 21 Ogos lalu ketika sedang mengutip cendawan.

Pasangan yang menemuinya berkata, mereka terdengar bunyi pelik ‘seperti anjing menyalak’ dari satu kawasan yang tanahnya kelihatan seperti baru digali.


BAYI malang ditemui dalam tong sampah. FOTO Ihsan Polis.

“Pada mulanya, kami fikir mungkin ada haiwan terperangkap, tetapi selepas menggali tanah itu kami menemui lapisan simen yang menutup lubang dan suara itu datang darinya,” kata Jiao Xinglu dan isterinya Zhou Shangdong dipetik South China Morning Post.

Jinan Times melaporkan, bayi itu kini ditempatkan di dalam inkubator di Hospital Bersalin dan Penjagaan Kesihatan Shandong di Jinan dan tidak menghidapi penyakit berbahaya selain demam kuning dan anamia.

Berat badannya juga meningkat dari 1.5 kilogram (kg) kepada 4kg.

Zhou yang mempunyai dua anak berkata, dia sanggup mengambil bayi itu sebagai anak angkat jika keluarganya tidak ditemui.


JIAO menunjukkan di mana dia menemui kotak itu terkubur. FOTO Agensi

Daily Mail melaporkan, polis kini menyiasat seorang lelaki bernama Liu yang mendakwa dia datuk bayi berkenaan.

Liu muncul di Balai Polis Tai’an Yangliu, tiga hari selepas polis mengumumkan menjejaki ahli keluarga bayi itu.

Liu berkata, bayi berkenaan tidak dapat bernafas sendiri dan perlu bergantung pada mesin pernafasan selain mengalami jangkitan serius pada paru-paru.

Asia Wire memetik Liu berkata: “Dia meninggal dunia pada hari kedua dilahirkan. Dia tidak boleh minum atau makan. Selepas dia meninggal kami menguburkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:19 AM