JOKOWI
Agensi

JAKARTA: Kabinet baru Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dijangka dibarisi ramai golongan profesional berbanding ahli politik dalam usaha membawa negara itu berdepan ekonomi yang mencabar.

Detik.com melaporkan, sehingga semalam seramai 19 orang sudah bertemu Jokowi dan daripada jumlah itu 10 daripada mereka adalah golongan profesional terdiri daripada ahli perniagaan, akademik, pakar ekonomi dan aktivis.


NADIEM

Mereka dan beberapa tokoh lagi akan mengisi 34 jawatan menteri yang bakal diumumkan Jokowi pada hari ini.

Jokowi bakal membuat pembaharuan dalam Kabinetnya selepas dipilih semula sebagai presiden untuk penggal kedua.

Antara golongan profesional yang ditawar Jokowi untuk menyertai Kabinet adalah pengasas bersama Gojek, Nadiem Makarim dan taikun media, Erick Thohir.

Jokowi turut membuat kejutan apabila memilih pencabarnya ketika pilihan raya presiden lalu, Prabowo Subianto yang dijangka dilantik sebagai Menteri Pertahanan.


SRI Mulyani

Beberapa menteri yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dijangka dikekalkan termasuk Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati.

Selepas bertemu dengan Jokowi semalam, bekas Pengarah Urusan Bank Dunia memberitahu, presiden mahu dia kekal sebagai menteri kewangan.

Katanya, presiden mahu dia menumpu dasar bagi memperbaiki sumber manusia, memastikan bajet kerajaan dilaksanakan dengan baik dan dasar fiskal disesuaikan dengan dinamik global.

Sri Mulyani kini menjadi Menteri Kewangan paling lama Indonesia kerana pernah memegang jawatan itu ketika kepemimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:59 AM