GAMBAR hiasan
Reuters

MOSCOW: Tiga orang maut dalam kemalangan di sebuah lombong di Taimyr, Siberia milik Norilsk Nickel (Nornickel), kata syarikat Russia berkenaan.

Menurut Nornickel, tiga pekerja ditemui mati pada kedalaman 1,445 meter, sekitar 4.30 petang (waktu tempatan) dan tiada kebakaran berlaku.

Agensi berita TASS yang memetik Kementerian Situasi dan Kecemasan berkata, kemalangan itu tidak menyebabkan lombong berkenaan runtuh.

“Syarikat Nornickel sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas kejadian itu dan akan memberikan maklumat terbaharu mengenainya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengeluar paladium terbesar di dunia dan pengeluar nikel kedua terbesar berkata, lombong itu masih beroperasi selepas kejadian. Ia salah satu daripada lombong utama syarikat di Siberia dan mengandungi bijih campuran. Syarikat Nornickel juga adalah pengeluar utama platinum dan tembaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 11:57 PM