KERETA mangsa yang terbabas selepas hilang kawal akibat ditembak perompak. Gambar kecil Cayla.
Agensi

NEW MEXICO: Seorang wanita ditembak mati kerana secara tidak sengaja menyaksikan rompakan ketika bermain Pokémon Go menggunakan telefon bimbitnya.

Cayla Campos, 21, bermain Pokémon Go bersama teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Sidney berhampiran sebuah taman di Albuquerque, New Mexico apabila terlihat dua orang merompak seseorang yang duduk di dalam kereta.

Bagaimanapun, apabila memusingkan keretanya untuk meninggalkan tempat itu, suspek terbabit melepaskan tembakan terhadapnya, lapor KRQE dipetik Daily Mail.

Satu peluru terkena tengkuknya menyebabkan Cayla hilang kawalan dan merempuh rumah kosong. Dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan itu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku tidak jauh dari kediaman mangsa.

Menurut laporan, memang menjadi tabiatnya setiap malam keluar bermain Pokémon Go di sekitar kawasan perumahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:33 PM