LAPANGAN Terbang Antarabangsa Hamad
Reuters

DUBAI: Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Qatar akan dinaik taraf bagi mengendalikan lebih 60 juta penumpang setahun selepas 2022.

Menurut kenyataan lapangan terbang utama Qatar itu, seramai 34.5 juta penumpang dikendalikan pada 2018.

Menurut laporan, kapasiti lapangan terbang akan meningkat kepada lebih 53 juta penumpang setahun menjelang 2022 apabila negara Teluk itu menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

Fasa pertama membabitkan perluasan pembinaan yang menghubungkan ruang D dan E, bermula awal tahun depan manakala fasa kedua akan bermula selepas 2022.

Naik taraf itu meliputi 11,720 meter persegi di bahagian peruncitan serta makanan dan minuman, taman dalam bangunan seluas 10,000 meter persegi dan lain-lain 268 meter persegi.

Terminal kargo baru juga akan dibina, meningkatkan kapasiti kepada anggaran 3.2 juta tan setahun menjelang 2023.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dibuka pada 2014 dengan kapasiti 30 juta penumpang setahun, menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:02 PM