MAHARAJA Naruhito adalah maharaja pertama yang lahir selepas Perang Dunia Kedua menaik takhta. FOTO REUTERS
Reuters

TOKYO: Maharaja Naruhito perlu melalui beberapa siri upacara keagamaan bagi melengkapkan proses peralihan menduduki takhta diraja Jepun pada hari ini.

Upacara itu turut disaksikan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pemimpin dan kerabat diraja dari lebih 180 negara.

Naruhito, 59, yang adalah maharaja pertama yang lahir selepas Perang Dunia Kedua menaik takhta pada 1 Mei lalu dalam upacara tradisi ringkas.

Namun, upacara ‘Sokui no Rei’ pada hari ini adalah ritual rumit yang menyaksikan Naruhito secara rasmi membuat pengumuman sebagai maharaja baru Jepun.

Upacara itu berlangsung 10 hari selepas Taufan Hagibis melanda negara itu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 80 mangsa.

Susulan itu, perarakan sempena pertabalan Naruhito yang dirancang sebelum ini terpaksa dibatalkan.

Terdahulu, sekumpulan individu berkumpul di luar Istana Imperial biarpun hujan dan mereka mengibarkan bendera Jepun serta memberi sorakan ketika Naruhito tiba dalam kereta.

Bapa Naruhito, Akihito menjadi raja Jepun pertama untuk turun takhta selepas 200 tahun kerana faktor usia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 12:23 PM