TAMANNA Nusrat (kanan) dituduh mengupah beberapa wanita untuk menduduki peperiksaan untuknya. FOTO AGENSI
AFP

DHAKA: Seorang anggota parlimen Bangladesh disingkir daripada mengikuti pengajian di universiti selepas didapati mengupah lapan orang yang menyerupainya bagi menduduki peperiksaan untuk dirinya, kata pegawai hari ini.

Tamanna Nusrat dari parti pemerintah Liga Amani dituduh mengupah beberapa wanita yang menyerupainya untuk menduduki sekurang-kurangnya 13 peperiksaan.

Skandal itu terbongkar selepas stesen televisyen Nagorik TV memasuki dewan peperiksaan dan bertemu dengan seorang wanita yang menyamar sebagai Tamanna.

Video itu kemudiannya tular di media sosial.

Tamanna yang dipilih sebagai anggota parlimen pada tahun lalu melanjutkan pelajaran dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni di Open Universiti Bangladesh (BOU).

“Kami menyingkirkannya kerana dia melakukan jenayah. Kami membatalkan pengajiannya dan dia tidak akan diterima di sini lagi,” kata pengarah BOU, M A Mannan.

Seorang pegawai universiti memberitahu, individu yang menyamar itu adalah pelajar dan dia dilindungi oleh pengawal peribadi Tamanna.

“Semua orang tahu mengenai penipuan itu tetapi tiada siapa berani bersuara kerana dia datang dari keluarga yang berpengaruh,” jelasnya.

Penipuan ketika ujian dan kebocoran kertas peperiksaan adalah perkara biasa di Bangladesh hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa beberapa kali membatalkan keputusan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 12:10 AM