KAWASAN yang terbakar melonjak dari 328,724 hektar direkodkan antara Januari hingga Ogos. FOTO: Reuters
Reuters

JAKARTA: Kawasan tanah yang musnah akibat kebakaran sepanjang September lalu menjangkaui jumlah direkodkan pada keseluruhan 2018, menurut data diberikan pegawai kerajaan hari ini.

Pemangku pengarah pengurusan kebakaran hutan, Raffles Panjaitan, daripada kementerian alam sekitar dan perhutanan, memberitahu media, keseluruhannya 857,756 hektar tanah terbakar menjelang hujung September 2019.

Ini melebihi 529,267 hektar yang terbakar pada 2018, mengikut data kerajaan Indonesia. Kemusnahan akibat kebakaran baru-baru ini yang tertinggi sejak 2015, yang ketika itu dicatatkan 2.6 juta hektar dibakar.

Kawasan yang terbakar melonjak dari 328,724 hektar direkodkan antara Januari hingga Ogos, dan dijangka terus meningkat ‘walaupun tidak seteruk bulan lalu.’

“Kerja memadamkan api masih diteruskan hari ini untuk mengelak keadaan lebih teruk,” katanya.

Negara itu memerangi kebakaran hutan di Sumatra dan Borneo sejak beberapa bulan lalu yang mengakibatkan jerebu teruk di Malaysia serta Singapura.

Hujan mula turun di Sumatra seterusnya meredakan keadaan, tetapi Raffles berkata, musim hujan sebenarnya hanya akan bermula pada pertengahan November.

Susulan itu, katanya, kebakaran masih berlaku di Jawa termasuk di kawasan konservasi.

“Di Jawa, punca kebakaran selalunya tidak disengajakan apabila orang yang mendaki atau mengembara hutan cuai dan membuang puntung rokok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:42 PM