GAMBAR hiasan.
Agensi

TOKYO: Seorang polis wanita berpangkat sarjan meletak jawatan apabila terbongkar melakukan kerja sambilan sebagai pekerja seks, selepas tertinggal pistolnya dalam tandas awam di sebuah stesen kereta api.

Sarjan berusia 27 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu menawarkan perkhidmatan pelacur yang ditempah menerusi telefon, digelar ‘penghantaran kesihatan,’ iaitu pekerja seks dihantar ke lokasi dipilih pelanggannya, lapor Japan Today.

Wanita itu dilaporkan bekerja separuh masa dalam industri seks antara Mei hingga September lalu pada hari yang dia tidak bertugas atau tamat syif awal. Dia dilaporkan bekerja 20 syif pelacuran dan memperoleh 300,000 yen (RM11,500) yang digunakan untuk pelbagai kemewahan termasuk makan di restoran mahal.

Bagaimanapun, pada 29 September lalu dia tertinggal tali pinggang yang terpasang gari serta pistol yang berisi berpeluru di tandas awam di stesen kereta api Aioi sebelum ditemui orang awam sejam setengah kemudian lalu menyerahkannya kepada pentadbiran di premis itu, lapor portal Sora News.

Akibatnya, siasatan dalaman dijalankan terhadap pegawai berkenaan menyebabkan kerja sambilannya terbongkar.

Netizen bagaimanapun tidak terus mengutuk pegawai berkenaan, malah ada yang menunjukkan simpati terhadapnya termasuk beranggapan dia sebenarnya memerlukan wang untuk membayar hutang.

Seorang pengguna Internet berkata: “Kasihan polis kerana tidak cukup wang. Sudahlah mereka bekerja keras, sepatutnya gaji dibayar juga setimpal.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:49 PM