NADIEM Makarim
Reuters

JAKARTA: Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Gojek, Nadiem Makarim meletak jawatan di firma perkhidmatan teksi motosikal e-hailing itu untuk menganggotai kabinet Indonesia.

Gojek dalam satu kenyataan semalam berkata, Presiden Andre Soelistyo dan seorang lagi pengasas bersama Kevin Aluwi akan bergabung sebagai ketua pegawai eksekutif firma bernilai AS$10 bilion (RM41.81 bilion) itu.

Nadiem, 35, ketika bertemu dengan wartawan di Istana Presiden berkata berbesar hati diberi peluang untuk menyertai Kabinet.

Katanya, jawatannya akan diumumkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada minggu ini.

Menurut Nadiem, beliau dan Jokowi berbincang mengenai hala tuju pembangunan Indonesia pada masa depan termasuk modal insan, reformasi birokrasi dan pelaburan.

Media tempatan menjangka Nadiem mungkin memegang jawatan dalam Kementerian Ekonomi Digital Baru atau Kementerian Pelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:10 PM