MUKA depan akhbar The Australian yang digelapkan hari ini. FOTO Agensi
AFP

SYDNEY: Akhbar di Australia menerbitkan muka depan yang digelapkan hari ini sebagai bantahan kerahsiaan kerajaan serta tindakan keras terhadap kebebasan media dan langkah penyatuan itu jarang berlaku di negara berkenaan.

Antara akhbar yang menerbitkan muka depan digelapkan adalah The Australian, The Sydney Morning Herald dan Australian Financial Review.

Iklan turut dilancarkan di stesen televisyen seluruh negara meminta penonton menimbang persoalan, ‘apabila kerajaan merahsiakan kebenaran dari anda, apa yang mereka cuba tutup?’

Kempen anjuran pakatan Right to Know itu tercetus berikutan serbuan polis di ibu pejabat penyiar nasional ABC dan kediaman wartawan News Corp, Annika Smethurst pada awal tahun ini.

Bantahan berkenaan menumpu terhadap enam tuntutan, termasuk mengecualikan wartawan daripada undang-undang ketat keselamatan yang mudah menjejaskan media daripada menjalankan tugas.

“Budaya kerahsiaan menerusi peruntukan undang-undang mengehadkan hak setiap rakyat Australia untuk mengetahui dan melangkaui hasrat asal keselamatan negara,” kata Ketua Kesatuan Pakatan Hiburan Media dan Seni, Paul Murphy.

Kumpulan media menggesa perlindungan lebih baik kepada pemberi maklumat sektor awam yang turut berdepan dakwaan kerana membocor maklumat kepada media.

Mereka turut menuntut kebebasan maklumat rejim yang lebih baik dan reformasi terhadap undang-undang memfitnah.

Susulan serbuan itu, Smethurst dan dua wartawan ABC mungkin berdepan tuduhan jenayah.

Smethurst mendedahkan kerajaan Australia menimbang rancangan mengintip rakyatnya manakala dua wartawan ABC mendedahkan dakwaan jenayah perang oleh pasukan tentera khas negara itu di Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 11:14 AM