PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Lubnan sambil menjerit slogan anti-kerajaan ketika demonstrasi. FOTO EPA
Reuters

BEIRUT: Puluhan ribu rakyat Lubnan kembali memenuhi jalan raya dalam tunjuk perasaan anti-kerajaan yang masuk hari ketiga semalam, selepas empat menteri meletak jawatan kerana tidak yakin kerajaan mampu mencari penyelesaian.

Tunjuk perasaan itu tercetus selepas kerajaan bercadang memperkenalkan sistem cukai baru, termasuk panggilan WhatsApp selain kenaikan kos sara hidup.

Semalam, Parti Tindakan Lubnan yang menjadi sekutu utama Perdana Menteri Saad Hariri mengumumkan keluar dari kabinet membawa kepada peletakan jawatan empat menteri, termasuk Menteri Sumber Manusia Camille Abousleiman.

Hariri diberi masa sehingga hari ini untuk melaksanakan pakej pembaharuan ekonomi bertujuan memperbaiki kewangan negara dan mendapat bantuan daripada penyumbang dana yang amat diperlukan.

Jumaat lalu, beliau memberi masa 72 jam kepada parti gabungan dalam kerajaannya untuk menerima pakej pembaharuan itu dan jika ditolak, akan meletak jawatan.

Dalam usaha meredakan kemarahan rakyat, kementerian kewangan mengumumkan persetujuan terakhir bajet tidak akan termasuk seberang cukai tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:54 AM