SEORANG penduduk berdiri di hadapan rumahnya yang rosak teruk terkena bedilan meriam semalam. FOTO AFP
AFP

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh akibat tembakan meriam di sempadan de facto India-Pakistan di Kashmir semalam.

Dua anggota tentera dan seorang penduduk terbunuh, manakala tiga lain cedera dalam ‘tembakan tanpa provokasi oleh Pakistan’ di daerah pergunungan Kupwara, kata jurucakap tentera.

Beberapa rumah turut rosak dalam serangan itu dan tiga orang awam dirawat di hospital.

Serangan itu berlaku ketika kedua-dua negara saling tuduh-menuduh mencuba memporak-perandakan rantau bergolak itu.

Ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear itu memuncak selepas India melucutkan status autonomi Kashmir pada 5 Ogos lalu dan melaksanakan sekatan pergerakan dan komunikasi bagi membendung bantahan.

Ketua tentera India, Jeneral Bipin Rawat berkata, tenteranya melepaskan tembakan meriam terhadap ‘kem pengganas’ di kawasan merentasi sempadan.

Islamabad menuduh tentera India menyasar orang awam dengan Kementerian Luar negara itu berkata, enam terbunuh sementara beberapa lagi termasuk wanita dan kanak-kanak cedera parah dalam kawasan berhampiran Garisan Kawalan (LoC).

Seorang anggota tentera Pakistan maut, menjadikan angka korban di sebelah Kashmir ditadbir negara itu kepada tujuh orang.

Serangan berlaku sebelum pilihan raya di dua negeri utama India hari ini yang mana hampir 100 juta orang mengundi di utara Haryana dan barat Maharashtra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:06 AM