RAKAMAN video itu turut mengundang kecaman netizen terutama penduduk tempatan yang melempar pelbagai cacian.
Agensi

LONDON: Seorang pemandu yang dirakam sengaja melanggar lopak air hingga menyebabkan pejalan kaki basah di Stafford, England mungkin terpaksa membayar denda kerana tindakan itu menyalahi undang-undang.

News.com.au melaporkan, perbuatan biadap pemandu kereta Audi itu dirakam menerusi kamera pemandu lain dalam kejadian awal bulan ini sebelum ia dikongsi menerusi laman Staffordshire Tactical Information di Facebook.

Saksi terbabit turut merakam nombor plet kereta dan memaklumkan kepada polis selain mendakwa tindakan pemandu itu menyebabkan pejalan kaki berkenaan ketakutan.

Rakaman video itu turut mengundang kecaman netizen terutama penduduk tempatan yang melempar pelbagai cacian.

Beberapa hari kemudian, satu hantaran dimuat naik mengatakan polis sudah menghubungi mereka meminta bukti berkenaan.

The Mirror melaporkan, tindakan itu dianggap sebagai jenayah yang boleh dikenakan denda maksimum sehingga 5,000 pound (RM27,190).

“Mengikut seksyen tiga Akta Lalu Lintas 1988, ia adalah satu kesalahan sekiranya memandu tanpa mempertimbangkan keadaan orang lain termasuk melanggar lopak air hingga terkena pejalan kaki,” lapor media itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 10:10 PM