Marissa Mowry.
Agensi

FLORIDA: Seorang pengasuh dipenjara 20 tahun kerana mengambil kesempatan secara seksual terhadap budak lelaki berusia 11 tahun yang sepatutnya dijaganya, malah melahirkan anak hasil penderaan itu.

Marissa Mowry, 28, yang tinggal bersama keluarga mangsa sebagai pengasuh kanak-kanak itu, mengambil kesempatan terhadap mangsa pada Januari 2014 sebelum melahirkan anak hasil hubungan itu pada Oktober tahun sama, lapor Daily Mail.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit langsung tidak mengesyaki bapa sebenar bayi itu, sebaliknya menyangka ia hasil hubungan Marissa dengan teman lelakinya. Susulan itu, Marissa tetap terus tinggal dan bekerja dengan keluarga berkenaan.

WFLA melaporkan Marissa mendera kanak-kanak itu secara seksual sekurang-kurangnya 15 kali dalam tempoh tujuh bulan. Kanak-kanak itu tidak melaporkan perkara itu sehingga 2017, seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Mangsa yang kini berusia 17 tahun menghadiri prosiding menjatuhkan hukuman terhadap Marissa bersama anak mereka yang kini berumur lima tahun.

Sementara itu, ibu mangsa memberitahu pemberita di luar mahkamah, ibu bapa perlu berjaga-jaga terhadap ‘pemangsa wanita.’

“Saya rasa amat dikhianati. Selama ini saya menganggapnya seperti anak sendiri malah melawatnya di hospital selepas dia melahirkan anak itu.

“Zaman kanak-kanak anak kami hancur kerana kejadian ini,” katanya.

Remaja itu dilaporkan membesarkan sendiri anaknya dalam pada dia melalui usia remaja dan sekolah menengah.

Menurut WFLA, Marissa juga melahirkan anak hasil hubungan dengan seorang lagi kanak-kanak bawah umur yang dideranya, tetapi tidak didakwa berhubung kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:38 AM