SEMBILAN mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat dari bawah runtuhan bangunan apartmen setinggi tujuh tingkat. FOTO AFP
AFP

RIO DE JANEIRO: Jumlah mangsa maut dalam kejadian bangunan runtuh di bandar Fortaleza, Brazil meningkat kepada empat orang semalam. 

Pihak berkuasa tempatan berkata, jumlah itu dijangka meningkat kerana pasukan penyelamat masih berusaha mengesan enam lagi mangsa yang dilaporkan hilang.

Menurut laporan awal, sembilan mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat dari bawah runtuhan bangunan apartmen setinggi tujuh tingkat.

Antara mangsa terselamat adalah pelajar jurusan seni bina, David Sampaio yang berjaya ditemui selepas menghantar gambar swafoto senyum di bawah runtuhan ke aplikasi sembang WhatsApp.

Laman web berita G1 yang memetik majlis perbandaran melaporkan, sehingga kini punca bangunan dibina secara haram itu runtuh masih belum diketahui

Dalam kenyataan yang disiarkan semalam, jabatan keselamatan awam negeri Ceara mengesahkan empat mangsa maut dalam kejadian itu.

Namun, G1 melaporkan, mayat mangsa kelima sudah dibawa keluar dari bawah runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 10:23 AM