CUACA sejuk di Doi Inthanon, Chiang Mai, utara Thailand menarik ramai pelancong setiap tahun.
Agensi

BANGKOK: Jabatan Meteorologi Thailand mengumumkan musim sejuk negara itu bermula semalam (17 Oktober) dengan suhu di utara, termasuk Chiang Mai turun serendah 11 darjah Celcius.

Menurut jabatan itu, suhu di banyak kawasan, termasuk di Bangkok boleh turun serendah antara 15 darjah hingga 17 darjah Celcius pada Disember dan Januari manakala suhu di wilayah utara, seperti Chiang Rai boleh serendah tujuh darjah Celsius.

Cuaca sejuk di utara Thailand menarik ramai pelancong ke Chiang Mai dan Chiang Rai setiap tahun, namun menurut Thai News Agency (TNA), cuaca tahun ini dijangka lebih sejuk, terutama ketika akhir Disember.

Menurut jabatan itu, penurunan suhu berikutan corak cuaca di China yang membawa angin lebih kuat menyebabkan suhu menurun antara satu dan tiga darjah Celcius di wilayah utara.

Bangkok Post yang memetik ketua pengarah jabatan itu, Phuwiang Prakhammin, melaporkan cuaca sejuk dijangka berterusan sehingga pertengahan Februari depan.

Menurut Phuwiang, beberapa wilayah seperti Chiang Rai, Nan, Nakhon Phanom dan Sakol Nakhon akan mengalami suhu lebih rendah iaitu antara tujuh hingga lapan darjah Celcius.

“Bangkok pula dijangka merekodkan suhu lebih rendah tahun ini, iaitu sekitar 15 hingga 17 darjah Celcius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:33 AM