TENTERA Syria yang berpangkalan di Turki berkumpul di pinggir bandar di Ras al-Ain. FOTO AFP
Agensi

ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menegaskan operasi ketenteraan di utara Syria akan diteruskan sehingga kumpulan bersenjata Kurdish mengalah dan berundur keluar dari ‘zon selamat’, 32 kilometer dari sempadan Turki.

Erdogan yang menolak semua rundingan dengan Kurdish berkata, operasi itu hanya akan dihentikan ‘apabila mereka (Kurdish) meletak senjata, memusnahkan semua perangkap dan keluar dari zon selamat yang kami tetapkan.’

Al Jazeera melaporkan, presiden itu yang mengenepikan semua desakan antarabangsa untuk gencatan senjata menjelang pertemuan dengan pegawai kanan Amerika Syarikat, memberitahu Parlimen, tiada kuasa asing boleh menghentikan operasi itu yang masuk hari kelapan semalam, sehingga sasaran Ankara tercapai.

“Kita akan hentikan operasi itu malam ini juga jika mereka berundur,” katanya merujuk kepada Tentera Demokratik Syriua (SDF) diterajui Kurdish yang dianggap Turki sebagai pengganas.

“Dengan izin Tuhan, kita akan menguasai wilayah dari Manbij (di barat laut Syria) hingga ke sempadan kita dengan Iraq,” kata Erdogan ketika ucapan di Parlimen.

Sementara itu, AFP melaporkan 300,000 orang awam menjadi pelarian akibat operasi ketenteraan Turki itu.

Pengarah pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di London, Rami Abdel Rahman berkata, peningkatan mendadak itu berikutan pelarian dari Tal Abyad dan Kobane serta Hasakeh.

Menurutnya, tentera Turki dan kumpulan bersenjata sokongannya sudah hampir menguasai Ras al-Ain, bandar penting yang cuba dipertahan Kurdish sejak beberapa hari lalu, menyaksikan bandar itu dihujani serangan udara dan bedilan artileri sejak tiga hari lalu.

Presiden Donald Trump dilapor berkata: “Jangan jadi bodoh” dalam suratnya kepada Erdogan dengan memberi amaran ‘sejarah akan mengingati anda (Erdogan) sebagai ‘syaitan.’

“Mari kita lakukan yang terbaik. Anda tidak mahu bertanggungjawab membunuh ribuan orang dan saya tidak mahu bertanggungjawab memusnahkan ekonomi Turki, namun saya akan lakukannya.

“Jangan berlagak kuat, jangan jadi bodoh. Saya akan hubungi anda nanti,” kata Trump dalam surat bertarikh 9 Oktober yang menurut AFP disahkan Rumah Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:30 AM