AHLI pro-demokrasi diheret keluar oleh pengawal keselamatan kerana ganggu ucapan pemimpin Carrie Lam.
Agensi

HONG KONG: Dewan Perundangan Hong Kong huru hara hari ini apabila beberapa ahli parlimen prodemokrasi diheret keluar oleh pengawal keselamatan kerana mengganggu ucapan pemimpin Carrie Lam.

Mereka turut mendesak siasatan polis terhadap serangan ganas aktivis hak asasi manusia terkenal, Jimmy Sham yang ditemui cedera di Mong Kok semalam.

Sham yang adalah ketua Barisan Hak Asasi Manusia Awam (CHRF) ditemui berlumuran darah dan baring di atas jalan raya Mong Kok semalam.

Aktivis itu dilaporkan diserang lima lelaki dengan pisau dan tukul, lapor Reuters.

Ahli parlimen prodemokrasi, Claudia Mo memberitahu wartawan, serangan itu bagi menimbulkan kemarahan penunjuk perasaan serta mencetuskan keganasan menjelang perhimpunan pada Ahad ini.

Semalam, Lam terpaksa memendekkan ucapan dasarnya selepas berulang kali diganggu dan menyampaikan amanat dalam bentuk rakaman video.

Menurut AFP, Lam kembali ke Majlis Perundangan hari ini untuk menyambung sesi dan sepatutnya menjawab soalan mengenai kandungan ucapan dasar itu.

Namun, kekacauan tercetus sekali lagi apabila pembangkang mula melaungkan slogan dan terpaksa diheret keluar dari dewan oleh pengawal keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:22 PM