PEROMPAK melarikan diri sejurus selepas pemilik rumah melepaskan tembakan.
Agensi

BRASILIA: Sekumpulan lelaki bersenjata yang cuba merompak sebuah rumah bertempiaran lari selepas terserempak dengan pemiliknya yang melepaskan tembakan ke arah mereka dalam kejadian di Sao Paulo, Brazil pada Jumaat lalu.

Daily Mail melaporkan lima lelaki bertopeng itu masuk menerusi kawasan garaj selepas menggodam sistem keselamatan rumah terbabit sebelum mengeluarkan senjata untuk melakukan rompakan.

Bagaimanapun, mereka kurang bernasib baik apabila terserempak dengan pemilik rumah di kawasan tangga sebelum lelaki itu melepaskan tembakan.

Rakaman kejadian yang dikongsi di media sosial itu terus menjadi tular.

Polis berkata, tiada penahanan dibuat namun salah seorang daripada kumpulan itu tertinggal dompet, kad pengenalan diri dan telefon bimbit di tempat kejadian, lapor media Brazil, G1 Globo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 12:16 PM