FISHER
Agensi

NEW YORK: Bilionair yang juga penganalisis pelaburan terkemuka Amerika Syarikat kehilangan kontrak bernilai berbilion ringgit kerana bergurau mengenai seks, alat kelamin dan pedofilia Jeffrey Epstein ketika satu persidangan di San Francisco.

Kenneth Fisher, 68, yang mengasaskan syarikat pengurusan kewangan bernilai AS$112 bilion (RM470 bilion), Fisher Investments, membandingkan proses mengumpul dana dengan kedudukan wanita ketika hubungan seks.

“Wang, seks, dua perkara paling peribadi bagi kebanyakan kita. Ia seperti memikat wanita dalam bar, pergi kepadanya dan berkata, saya mahu berbual mengenai apa yang ada dalam seluar kamu,” katanya dalam rakaman diperoleh CNBC pada persidangan bagi menarik pelanggan baru itu.

Menurut new.com.au, pengasas Lake Avenue Financial, Alex Chalekian yang menghadiri persidangan itu mendakwa melalui Twitter, Fisher turut menyentuh mengenai Jeffrey Epstein serta kenyataan lain yang tidak sopan.

Fisher kemudiannya memohon maaf melalui kenyataan kepada CNBC, namun sudah terlambat kerana beberapa pelanggan menarik diri daripada syarikatnya, termasuk kerajaan negeri Michigan menarik balik pelaburan tabung wang pencen bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Fisher Investments sudah 15 tahun berurusan dengan kerajaan negeri Michigan.

Forbes melaporkan, Fisher sebagai Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Fisher Investments memiliki harta bernilai AS$3.7 bilion (RM15.5 bilion) selepas menubuhkan syarikat itu dengan modal hanya AS$250 (RM1,047) pada 1979.

Fisher yang tidak menamatkan pengajian sekolah tinggi kerana menganggap ia membazir masa, sudah menerbitkan 11 buku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 7:32 AM
Skip this ad x