SALAH satu pusat perlindungan untuk mangsa-mangsa taufan hagibis. FOTO AFP
Reuters

TOKYO: Tindakan sebuah pusat perlindungan pemindahan menghalau dua gelandangan ketika taufan menghampiri negara itu pada hujung minggu lalu mencetuskan kemarahan orang ramai dengan Perdana Menteri Shinzo Abe turut menjanjikan kejadian seumpama itu tidak akan berulang.

Kakitangan di pusat perlindungan di sebuah sekolah di Taito, Tokyo, enggan membenarkan dua gelandangan itu masuk pada Sabtu lalu kerana tiada alamat di mukim berkenaan, kata seorang pegawai tempatan. Katanya, mereka memaklumkan lokasi itu hanya untuk penghuni di mukim berkenaan.

Seorang gelandangan berusia 64 tahun memberitahu akhbar Asahi: “Angin terlalu kencang dan hujan lebat, saya cuma mahu mereka membenarkan saya masuk.”

Katanya, dia tiba di pusat perlindungan itu pada waktu pagi dan diminta menulis nama serta alamat. Apabila memberikan alamat di Hokkaido, utara Jepun, dia tidak dibenarkan masuk kerana bukan penghuni mukim itu.

Dia terpaksa berlindung di bawah payung plastik di sebalik tembok sebuah bangunan, kata akhbar itu.

Seorang lagi lelaki gelandangan turut dihalau ketika datang ke pusat itu pada petang sama, kata akhbar berkenaan.

Pengguna media sosial mencemuh kejadian itu dan ramai menganggapnya pelanggaran hak asasi manusia.

Abe ketika mengulas isu itu berkata, pusat pemindahan sepatutnya menerima semua orang dan kejadian itu akan disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:08 PM