RAKAMAN dari kamera badan Aaron ketika kejadian.
AFP

WASHINGTON: Seorang polis kulit putih didakwa atas tuduhan bunuh kerana menembak mati wanita Afrika Amerika ketika mangsa bermain permainan video di dalam rumah dengan anak saudaranya.

Aaron Dean menembak matk Atatiana Jefferson, 28, dari luar kediaman mangsa di Fort Worth pada awal pagi Sabtu ketika wanita itu pergi ke tingkap untuk memeriksa bunyi bising di luar.

Kejadian malang itu berlaku selepas seorang jiran menghubungi polis meminta anggota memeriksa kediaman mangsa kerana pintunya terbuka pada kira-kira jam 2 pagi.

Rakaman dari kamera badan polis terbabit menunjukkan dua anggota berkenaan mengelilingi rumah itu dengan membawa lampu suluh sebelum melihat seseorang berdiri di tepi tingkap.

Peguam keluarga Atatiana, Lee Merritt berkata, mangsa yang sedang bermain permainan video dengan anak saudaranya berusia lapan tahun pergi ke tingkap itu kerana terdengar bunyi bising di luar. Malangnya, dia terus ditembak.

Polis berkata Dean, yang bertugas sejak 2017, tidak memperkenalkan dirinya sebagai polis sebelum melepaskan tembakan.

Kejadian itu kurang dua minggu selepas seorang polis wanita kulit putih dipenjara kerana membunuh seorang lelaki Afrika Amerika di dalam rumahnya di Dallas dan mencetuskan kemarahan di Amerika Syarikat.

Pemangku Ketua Polis Fort Worth Ed Kraus berkata: “Sepatutnya saya mahu memecatnya hari ini, tetapi dia sendiri meletak jawatan sebelum kami sempat berjumpa.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 1:20 PM